Monday, January 12, 2009

Isu Negara Islam

Nampaknya pimpinan parti kita perlu menyatakan pendirian yang jelas tentang isu penubuhan Negara Islam. Isu ini telah membawa kepada perpecahan dan salahfaham sesama ahli sehingga sudah ada kedengaran di kedai-kedai kopi bahawa ada ahli kita yang meragui keikhlasan pimpinan untuk meneruskan cita-cita tersebut. Ianya semakin berkecamuk apabila sahabat kita dalam Pakatan Rakyat, DAP secara terang-terangan meminta pimpinan kita menyatakan pendirian tersebut dan mengugut untuk menarik diri sekiranya kita masih bercita-cita meneruskan agenda tersebut.

Persoalan besar bagi kita adakah kita perlu parti yang sedemikian yang tidak sama sekali menerima dasar kita? Apakah perlu kita terus menjadi adik tiri dalam Pakatan ini? Percayalah bahawa Allah bersama-sama kita dalam perjuangan ini dan kita tidak memerlukan musuh dalam selimut. InsyaAllah.

Friday, January 9, 2009

UMNO haprak

UMNO adalah satu-satunya parti yang memang haprak di Malaysia. Setelah parti tersebut dilihat hampir tewas di Parlimen Trengganu kerana mencalonkan calon karaoke, mereka memainkan isu YB Wahid sebagai calon sombong, sama seperti calon mereka.

Memang diakui calon kita kadang-kadang dilihat sombong tetapi apakah kerana rumahnya sentiasa tidak diterangi lampu sebelah malam, beliau dikatakan sombong? Apakah kerana beliau seorang YB, beliau perlu menunggu sehingga tengah malam untuk berjumpa rakyat? Kita juga perlu faham bahawa beliau juga ada masalah keluarga yang perlu diselesaikan dan memerlukan perhatian beliau. Ini menjawab persoalan sesetengah ahli kita kenapa ahli keluarga beliau kadang-kadang terpaksa berbohong dengan mengatakan beliau tiada di rumah..

Thursday, January 8, 2009

Bersedia dengan isu

Sekali lagi kita akan berdepan dengan suasana politik yang menggugat keyakinan kita untuk menang terutamanya di Parlimen Kuala Trengganu yang sedang kita hadapi sekarang. Calon 'penyanyi karaoke' BN haprak yang diketengahkan nampaknya berusaha bersungguh sungguh untuk memenangi kerusi tersebut. Pelbagai usaha giat dilakukan untuk memenangi hati pengundi. nampaknya BN benar-benar ingin menunjukkan bahawa mereka masih relevan dengan politik semasa.

Kita doakan supaya tiada lagi pengundi hantu yang datang membantu BN. Itulah saja harapan kita agar tiada lagi tangan-tangan di luar kawasan mengundi hadir memberi bantuan. Namun begitu, kita juga perlu mengelakkan apa-apa perkara yang boleh menyebabkan kebencian rakyat kepada kita. Apatah lagi calon kita hanyalah calon 'last minute' yang terpaksa diketengahkan gara-gara permasalahan dalaman parti. Oleh itu, sebarang usaha yang boleh menyebabkan kemarahan rakyat patut dielakkan sama sekali. Tindakan menyekat bas-bas persiaran dan seumpamanya sepatutnya bukan lagi menjadi budaya kita. Kita sepatutnya sedar bahawa kita bukan lagi pembangkang tetapi telah mempunyai beberapa kerajaan. Mentaliti pengganas sepatutnya bukan lagi budaya kita.

Petugas-petugas pilihanraya kita di Kuala Trengganu juga sepatutnya telah bersedia untuk menangkis sebarang isu terhadap parti mahupun terhadap calon kita. Kita sepatutnya telah bersedia dengan isu banglo besar calon kita sehingga melangkaui sempadan tanah kerajaan. Isu banglo besar calon kita ini sepatutnya disedari oleh semua petugas kita supaya kita telah bersedia untuk menangkis isu tersebut bila didedahkan oleh petugas-petugas BN. Tentunya kita tidak mahu dilihat sebagai sebuah parti yang nampak zuhud tetapi berpemimpinkan golongan sukakan dunia. Kita sedia maklum bahawa mereka akan menggunakan isu tersebut bila keadaan semain hampir kepada hari mengundi. Itulah kerja BN.

Wednesday, January 7, 2009

PAS perlu berubah

Kerancakan pilihanraya kecil Parlimen Kuala Trengganu nampaknya mengecewakan banyak pihak dalam parti kita, PAS. Usaha melobi dan mengetengahkan semula bekas Ahli Parlimen (MP) yang tewas kepada arwah MP dari BN dalam 2 pilihanraya umum yang lepas tidak mendatangkan apa-apa hasil. Kekerasan hati dan sikap tidak memperdulikan suara generasi muda dalam PAS dijangkakan akan menyebabkan kekalahan PAS dalam pilihanraya ini.

Suara generasi muda yang mahukan Dr. Syed Azman sebagai wakil mereka diketepikan sama sekali oleh pimpinan tertinggi PAS, Tuan Guru Hadi Awang (TGHA) kerana ketakutan beliau disaingi oleh pemimpin muda ini. Apatah lagi telah timbul ura-ura sebelum ini bahawa Dr Syed Azman mungkin akan menjadi Menteri Besar sekiranya PAS memerintah Trengganu. Ketakutan dan sikap tidak yakin TGHA ini diterjemahkan beliau secara nyata dengan mengenepikan juga hasrat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat (TGNA) yang mahu melihat Mohamad Sabu menjadi calon di Kuala Trengganu. Sikap dan tindakan TGHA yang membelakangkan pandangan TGNA selaku pakar rujuk parti sebenarnya adalah satu perkara yang cukup memalukan bagi parti kita.

TGNA yang telah menjadi MB sejak 1990 di Kelantan dan masih bertahan sampai hari ini sedangkan TGHA adalah MB sepenggal yang telah ditewaskan oleh parti Barang Naik(BN) dengan begitu mudah sekali. Perbandingan pengalaman dan pandangan jauh diantara kedua-dua pemimpin ini sebenarnya menguatkan keyakinan kita bahawa sudah sampai masanya TGHA memuhasabah diri dan melihat kedudukan beliau dalam parti.

TGHA tidak perlu menyalahkan kemaraan Anwar Ibrahim (DSAI) dalam politik negara sehingga mempengaruhi sesetengah pimpinan tertinggi dalam PAS. Beliau perlu melihat adakah stail kepimpinan secara ortodok yang beliau amalkan sekarang masih relevan dengan keadaan politik semasa. Pemilihan YB Mohd Abdul Wahid adalah bukti nyata bahawa PAS tidak mungkin akan dapat menyaingi tokoh-tokoh muda dalam Pakatan Rakyat (PR) yang lebih terbuka, bermaklumat dan hebat berhujah walaupun kita mungkin boleh memenangi pilihanraya kecil ini.

Tuesday, January 6, 2009

Assalamulaikum dan Selamat Datang

Selamat Datang ke laman blog ini kepada para sahabat seperjuangan yang bercita-cita untuk melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam sebagaimana yang diperjuangkan oleh parti kita, PAS.

Sesungguhnya perjuangan kita semua untuk melihat tertegaknya sebuah Negara Islam yang moden, komprehensif dan dihormati di seluruh dunia bukanlah satu perkara mudah. PAS perlu menjadi parti dominan dalam Pakatan Rakyat (PR) atau seelok-eloknya berdiri sebagai sebuah satu parti tanpa dokongan mana-mana parti lain. Impian ini nampak musthil tetapi dengan semangat dan pertolongan Allah, semuanya akan menjadi kenyataan satu hari nanti. InsyaAllah.

PAS juga sudah sampai ke satu peringkat untuk melaksanakan reformasi dalaman dengan memberi peluang kepada generasi muda yang lebih professional menerajui parti atau sekurang-kurangnya mewakili parti di peringkat Parlimen atau dewan Undangan Negeri (DUN). Suara dan sensitiviti mereka tentunya lebih sinonim dengan masyarakat kontemporari. Generasi lama dalam parti seharusnya memahami juga signal yang telah ditunjukkan oleh rakyat bahawa perubahan politik sedang berlaku dalam negara. Mereka masih diperlukan sebagai mentor dan tukang rujuk dalam isu-isu agama tetapi dari segi pendekatan dan strategi, golongan muda adalah lebih relevan sesuai dengan perubahan semasa.

Kita mengharapkan bahawa blog ini akan dapat menjadi medan bagi kita berbincang secara terbuka tentang apa-apa perubahan dalaman parti yang mungkin boleh memanafaatkan parti kita untuk agama yang tercinta. Allahhuakbar..